Pintas Utama tunai zakat perniagaan RM1.5 Juta

Utusan  |22 April 2022

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima replika cek zakat perniagaan daripada Zainudin Karjan dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat daripada syarikat Pintas Utama Sdn. Bhd. (Pintas Utama) bernilai RM1.5 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bayaran tersebut diserahkan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Zainudin Karjan kepada baginda di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Menurut Zainudin, sumbangan zakat perniagaan itu membuktikan komitmen pihaknya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi bayaran zakat yang merupakan antara nilai yang diterapkan dalam perniagaan.

“Memetik satu hadis daripada Abu Hurairaih r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘tidak akan berkurang harta dengan sedekah dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.’

“Meskipun sudah memasuki fasa endemik, saya percaya masih ramai golongan yang kurang berkemampuan mengalami keadaan sukar dan mencabar untuk menstabilkan semula kehidupan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah , penyerahan zakat tersebut menunjukkan bahawa syarikat sentiasa memelihara syiar Islam dan berkongsi keberkatan rezeki yang diperoleh berdasarkan kejayaan syarikat menerusi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan cerun.

Katanya lagi, menerusi sumbangan zakat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, Pintas Utama ingin mencipta aspirasi serta menjadi pendorong untuk menggalakkan individu mahupun organisasi untuk bersedekah sepanjang masa, bukan sahaja pada bulan Ramadan malah pada bulan-bulan lain.

“Sesungguhnya bulan Ramadan sangat berkait rapat dengan amalan yang mendatangkan pahala berlipat kali ganda antaranya amalan bersedekah,” ujarnya. – UTUSAN