SYARIKAT kejuruteraan, Pintas Utama mengumpul data LiDAR laluan jalan negeri di Semenanjung untuk mengenal pasti lokasi pengelasan cerun yang berisiko- UTUSAN
IPOH: Syarikat kejuruteraan, Pintas Utama sekali lagi mengadakan kerjasama dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pengumpulan Data Untuk Jalan Negeri Semenanjung atau LiDAR.
Majlis simbolik kepada kerjasama itu diadakan di Akademi Penerbangan Layang-Layang di sini semalam.
Program dihadiri Pengarah CKC, Shaifuddin Abdul Razak dan Ketua Bahagian Penilaian dan Pemetaan Bahaya Cerun (BPPBC), Ismail Ibrahim.
Pintas Utama merupakan pemain industri pembinaan yang bertanggungjawab dalam pemantauan cerun di jalan Persekutuan di Semenanjung.
Kerjasama itu bertujuan mengumpul data secara LiDAR di sepanjang laluan jalan negeri untuk mengenal pasti lokasi pengelasan cerun yang berisiko tinggi bagi tujuan kerja-kerja pencegahan.
Data tersebut akan digunapakai bagi mendapatkan peta asas cerun di sepanjang jalan negeri, seterusnya proses analisa data akan menghasilkan peta kecerunan, peta aspek, gambar udara atau orthophoto dan contor.
Maklumat tersebut diterbitkan dalam sistem yang dikenali sebagai Integrated Slope Management System (ISMAS) dan dapat digunakan sebagai rujukan inventori cerun, bagi memudahkan pihak terlibat untuk mengetahui status risiko cerun.
Dalam ucapan pada majlis tersebut, Shaifuddin mengucapkan terima kasih kepada Pintas Utama atas komitmen yang diberikan sepanjang kerja-kerja pembaikan cerun dilaksanakan sehingga siap, sesuai ketetapan.
Menurutnya, perolehan data LiDAR dapat membantu kelancaran tindak pantas Pintas Utama untuk bersiap-siaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian tanah runtuh skala besar yang melibatkan keselamatan awam.
“Penggunaan data LiDAR ini memberikan impak yang besar dalam industri pembinaan termasuk kerja-kerja pembaikan serta pencegahan risiko cerun runtuh berikutan ia membina satu garis panduan dan boleh dijadikan rujukan untuk mencapai objektif yang disasarkan,” katanya. – UTUSAN