Pintas Utama sumbang RM1 juta wakaf bina bangunan tambahan Masjid Kota Kemuning
Utusan |10 April 2023

KETUA Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn. Bhd., Datuk Ir. Marhalim Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Pengerusi Masjid Kota Kemuning, Ir. Mohd. Zamri Idris bagi pembinaan bangunan tambahan masjid berkenaan bersempena sambutan Hari Nuzul Quran semalam.
PETALING JAYA: Pintas Utama Sdn. Bhd. untuk kesekian kalinya meraikan keberkatan Ramadan dengan mewakafkan bangunan tambahan di sebuah masjid serta berkongsi nikmat bulan yang mulia ini bersama golongan memerlukan.
Syarikat kejuruteraan awam itu mengambil peluang berwakaf yang merupakan suatu sedekah berbentuk jariah yang berkekalan sifatnya.
Justeru semalam, Pintas Utama Sdn. Bhd. memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan bangunan tambahan untuk keperluan Masjid Kota Kemuning, Shah Alam bersempena sambutan Hari Nuzul Quran.
Sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Marhalim Mohamed kepada Pengerusi Masjid Kota Kemuning, Ir Mohd. Zamri Idris.
Kata Marhalim, aspek pengurusan masjid yang sangat efisien dalam membantu masyarakat sejagat dengan menyediakan ruang beribadah serta beriadah yang selesa dapat memberi kebaikan kepada masyarakat setempat.
“Ini seterusnya memberi keyakinan yang teguh kepada Pintas Utama Sdn. Bhd. bagi merealisasikan niat suci untuk berwakaf.
“Sebagai sebuah syarikat entiti Islam, Pintas Utama Sdn. Bhd. juga terus beriltizam untuk menghulur tangan melalui program tanggungjawab sosial korporat di bawah Yayasan Pintas Utama.
