Pintas Utama kongsi nikmat Ramadan dengan golongan memerlukan

Sinar Harian | 06 Mei 2021 

Ir Zainudin Karjan, Pengerusi Eksekutif Pintas Utama menyerahkan zakat perniagaan kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

KUALA LUMPUR – Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan amalan bersedekah. Amalan ini sewajarnya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah menjanjikan bagi setiap amal soleh itu akan digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda.

Baru-baru ini, syarikat Pintas Utama Sdn Bhd yang menyediakan kepakaran kejuruteraan awam untuk kerja-kerja pembinaan jalan, cerun, kerja berkaitan tanah dan pembentungan telah menyerahkan zakat perniagaan mereka kepada Lembaga Zakat Selangor pada 28 April 2021.

Penyerahan zakat itu diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif Pintas Utama, Tan Sri Ir Zainudin Karjan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Penyerahan zakat ini juga membuktikan komitmen Pintas Utama sebagai sebuah syarikat yang menggalakkan syiar Islam kerana menyedari akan hikmahnya pada masa akan datang.

“Selain itu ia menunjukkan antara elemen keberkatan rezeki berdasarkan kejayaan syarikat dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan cerun,” kata Ir Zainudin.

Selesai majlis serahan zakat, Sultan Selangor kemudian meluangkan masa mencemar duli berbuka bersama-sama di masjid itu.

Baginda turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah sebelum keberangkatan pulang selepas menikmati santapan selesai solat tarawih.

Meskipun mendepani cabaran pandemik ketika ini, amalan sedekah tidak seharusnya diputuskan begitu sahaja.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/137081/BERITA/Nasional/Pintas-Utama-kongsi-nikmat-Ramadan-dengan-golongan-memerlukan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf