Mohd Na’im menyampaikan plak penghargaan kepada Marhalim pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1446H/2025M di Menara TH.

PINTAS Utama Sdn Bhd menerima plak penghargaan atas komitmen berterusan terhadap kebajikan jemaah haji sebagai Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) menerusi penajaan set beg kepada jemaah Malaysia sepanjang tempoh haji 1446H/2025.

Plak penghargaan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Ir Marhalim Mohamed pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH, hari ini.

Agihan set beg itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri ketika penganjuran Kursus Perdana Haji, termasuk di Selangor pada April lalu yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Marhalim berkata, sumbangan bagi tahun ketiga itu menjadi simbol kepada kekukuhan syarikat terbabit dalam menyantuni jemaah Muassasah.

Ia amat bermakna bagi sebuah syarikat seperti Pintas Utama.

“Walaupun sederhana, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji,” katanya.

Selain berperanan sebagai syarikat berpengalaman dalam pengurusan cerun dan infrastruktur, Pintas Utama konsisten melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada rakyat merangkumi inisiatif pendidikan, kebajikan serta sokongan komuniti.